KUALA LUMPUR – Anak kepada penyanyi Saleem, Nursyafiq Farhain A M Salim, yang menjadi bualan netizen selepas lagu nyanyiannya, Mimpi Yang Pulang di Smule menjadi tular sedia berduet dengan bapanya jika diberi peluang.
Nursyafiq, 23, bagaimanapun berkata, masih banyak lagi aspek vokal yang perlu diasah dan diperbaiki sebelum impiannya itu menjadi kenyataan, apatah lagi kedudukan bapanya yang dianggap sebagai antara penyanyi legenda. “Ayah tahu saya mempunyai bakat dalam nyanyian, malah pernah menasihatkan saya supaya banyak lagi belajar. Jika ada pihak yang ingin menggandingkan kami di studio rakaman, saya tidak keberatan mencuba tetapi itupun jika ayah sudi,” katanya kepada BH Online.
Anak keempat daripada lima beradik yang sudah tiga tahun bertugas sebagai anggota bomba dan penyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Terbrau, Johor Bahru itu juga tidak menyangka, rakaman nyanyiannya dalam aplikasi Smule itu akan menjadi tular.
Suaranya yang persis Saleem mencetuskan persoalan ramai, apakah Norsyafiq mempunyai pertalian darah dengan vokalis kumpulan Iklim itu? Mengulas mengenai perkara itu, Nursyafiq berkata dirinya tidak berniat untuk mencari perhatian kerana aktiviti itu dilakukannya sekadar suka-suka.
“Saya agak malu dengan perkara ini dan bimbang jika dikata sengaja mencari populariti kerana rakaman video itu dibuat sekadar mengisi masa lapang disebabkan saya minat menyanyi,” katanya.
Ditanya adakah dirinya turut berhasrat menjadi penyanyi arus perdana seperti bapanya, Nursyafiq berkata, hatinya belum terdetik ke arah itu.
“Walaupun saya dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, saya tidak terfikir untuk melangkah sejauh itu. Lagipun saya selesa dengan pekerjaan sekarang.
“Saya juga mempunyai kumpulan muzik yang terdiri daripada anggota bomba dikenali sebagai Fire Fingers JDT,” katanya.[]Sumber:bharian.com.my