KUALA TERENGGANU - Seramai 12 nelayan asing ditahan selepas masuk ke perairan negara Malaysia dan menangkap ikan di zona larangan tangkap ikan, semalam. Mereka didapati menangkap…
KUALA TERENGGANU – Seramai 12 nelayan asing ditahan selepas masuk ke perairan negara Malaysia dan menangkap ikan di zona larangan tangkap ikan, semalam.
Mereka didapati menangkap ikan dengan pukat tunda di zona terlarang, dekat pantai Kuala Abang, Dungun.
Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu, Rusman Rusdy, berkata pihaknya juga merampas boat dan peralatan dengan bernilai kira-kira RM1 juta.
Katanya, bot pertama ditahan pada jam 4.30 pagi, iaitu kira-kira 6.5 batu nautika dari pantai Kuala Abang, Dungun, manakala bot kedua pula ditahan pada jam setengah jam kemudian pada jarak 9.3 batu nautika dari tempat sama susulan aduan diterima daripada Skuad Sukarelawan Perikanan (SUPER).
Beliau berkata, pihaknya menahan lapan nelayan warga Vietnam dan empat nelayan warga Thailand.
“Dua boat berkenaan boat tempatan, namun menggunakan khidmat nelayan asing. Selepas pemeriksaan kami mendapati semua nelayan berusia 20 hingga 50 tahun mempunyai izin melaut.
“Bagaimanapun, mereka melanggar syarat dan memasuki dan beroperasi di kawasan larangan tangkapan ikan. Justeru, mereka ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Chendering Kuala Terengganu.
Sementara itu, Rusman berkata, setakat ini, jumlah kerugian yang direkodkan dialami nelayan di Marang dan Besut akibat kerosakan unjam mencecah hampir RM500,000 akibat daripada tindakan boat tunda, terutamanya milik nelayan asing.
“Kita menerima banyak aduan daripada nelayan tempatan, khususnya nelayan tradisional seperti kerosakan peralatan dan unjam yang menyebabkan kerugian kepada mereka.
“Kebanyakan unjam dibuat secara berkelompok di sesetengah tempat dan mereka meletakkan antara 40,000 hingga 60,000 unjam di sesuatu kawasan, namun tindakan segelintir nelayan menunda ikan di zona terlarang menyebabkan nelayan tradisional menanggung kerugian,” katanya.[]Sumber:bharian